Monday, August 18, 2008

Harga minyak dijangka jatuh

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Harga minyak mentah global yang mencatatkan trend penurunan hampir sebulan diramalkan terus susut sebanyak 10 peratus untuk berada pada harga antara AS$90 (RM300) hingga AS$100 (RM334) setong dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, punca utama penurunan harga minyak global itu disebabkan oleh kelembapan ekonomi di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Malah menurut beliau, permintaan bagi bahan api itu di China telah turun sebanyak tujuh peratus.

''Meskipun ada yang berpendapat penurunan harga minyak disebabkan oleh kemelesetan ekonomi di Eropah dan AS tetapi keadaan itu (kemelesetan ekonomi) masih belum benar-benar berlaku.

''Sebaliknya, apa yang berlaku ialah permintaan bagi komoditi ini semakin kurang kerana sikap berhati-hati pasaran dengan keadaan ekonomi semasa khususnya di Eropah dan AS," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagaimanapun trend penurunan harga minyak global itu hanya bersifat sementara kerana situasi semasa tersebut dilihat lebih kepada pembetulan teknikal.

Teng Siew menambah, dalam tempoh 10 tahun sejak 1998 hingga 2008, harga minyak global mengalami pembetulan teknikal utama sebanyak enam kali membabitkan penurunan harga antara 22 peratus hingga 56 peratus.

Namun, katanya, dalam keadaan sekarang pembetulan teknikal bagi harga minyak hanya di antara 24 peratus hingga 25 peratus sahaja dan ia dianggap 'biasa'.

Mengulas mengenai prestasi penurunan harga minyak itu, Teng Siew menjangkakan harga minyak akan mula mencatatkan kenaikan pada awal tahun depan dan berada pada sekitar AS$100 setong sebelum melonjak kepada AS$130 (RM434.2) setong pada pertengahan tahun depan.

Ditanya kesan penurunan harga minyak global terhadap subsidi minyak oleh kerajaan, beliau berkata: ''Saya berpendapat memang terdapat pengurangan (subsidi) tetapi ia tidak membabitkan satu jumlah yang besar''.

Tambah beliau, dalam keadaan semasa kemungkinan subsidi kerajaan berada di sekitar 20 sen bagi seliter harga minyak runcit.

Tetapi, sekiranya harga minyak global terus jatuh pada paras AS$100 setong dan harga runcit bahan api semasa masih dikekalkan, kemungkinan besar kerajaan tidak perlu memberi subsidi kepada komoditi tersebut.


Dipetik dari Utusan Malaysia Online 17/8/2008


Harga minyak kt pasaran dunia dah jatuh smpai dibawah AS$100 setong. Tapi kenapa harga minyak kt pasaran Malaysia still maintain cmtu je. Ada pengumuman bahawa harga minyak kt Malaysia akan turun pada 1/9/2008 ni. Kenapa perlu tunggu lama untuk turunkan harga minyak tu. Sedangkan klau nak naikkan harga minyak laju je...

No comments: